Kereta rosak di highway? Jangan panik, ikuti langkah-langkah ini!

Kereta Rosak Di Highway? Jangan Panik, Ikuti Langkah-langkah Ini!

Adalah mimpi ngeri bagi semua orang apabila kereta tiba-tiba rosak di highway. Dalam situasi terdesak sebegini, sudah pastinya anda mengharapkan pertolongan daripada mana-mana pihak. 

Tapi, walaupun begitu, anda perlu berhati-hati! Ini kerana kebiasaanya trak tunda ini muncul dengan tiba-tiba dan amat bermurah hati untuk menghulurkan bantuan. 

Sudah pasti anda akan dipujuk untuk menggunakan servis mereka dan mengikuti mereka ke bengkel. Jangan termakan pujuk ini!

Pertama sekali, jangan panik. Apabila anda mula panik, anda akan mudah dimanipulasi oleh pihak-pihak yang sengaja mengambil kesempatan atas kesusahan anda. 

Ikuti langkah ini. 

#1 Hubungi Plusronda

Tahukah anda, sebagai pengguna lebuh raya, anda berhak mendapatkan perkhidmatan tunda secara PERCUMA? Plusronda akan membawa kereta anda sehingga ke plaza tol yang berhampiran.

Ini yang perlu anda buat sebelum menghubungi bantuan: 

  1. Nyalakan lampu kecemasan kenderaan.
  2. Dapatkan lokasi kilometer (ada tanda km di tepi lebuh raya di setiap 100m).
  3. Telefon nombor bantuan syarikat konsesi lebuh raya, contohnya PLUSRONDA – 1800 88 0000.
  4. Nyatakan jenis kenderaan dan nombor plet kenderaan.
  5. Nyatakan kerosakan.

#2 Hubungi syarikat insurans

Selepas kereta anda sudah selamat ditunda oleh bantuan syarikat konsesi lebuh raya, segera hubungi syarikat insurans kenderaan untuk mendapatkan perkhidmatan tunda secara percuma ke bengkel yang anda percayai. 

Selalunya syarikat insurans menetapkan jarak yang diberikan PERCUMA seperti 200km ataupun lebih, mengikut polisi yang ditetapkan. Sekiranya lokasi tersebut lebih kilometer seperti yang ditetapkan, maka kadar tertentu akan dikenakan sebagai contoh RM1.50/km. 

Ada juga syarikat insurans menyediakan tuntutan sewa teksi untuk pulang ke rumah dan ada juga syarikat insurans menawarkan tuntutan kos penginapan hotel yang ditanggung kerana kerosakan tersebut mengikut terma-terma tertentu.

InsyaAllah, apabila anda mengikuti langkah-langkah ini, anda akan terselamat daripada dimanipulasi oleh pihak-pihak tertentu.

Leave a comment

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.